SHAH ALAM - Juruterbang tidak boleh lalai terhadap kawalan pesawat sekiranya mereka telah aktifkan sistem autopilot kerana ia boleh terpadam sendiri.
Pakar Teknologi Penerbangan Udara, Ir Abu Hanifah Abdullah berkata, pemerhatian yang kerap perlu diberikan kepada pesawat bagi mengelak sebarang kemalangan.
“Ia tidak bermakna juruterbang boleh mengabaikan pesawat jika dalam keadaan autopilot kecuali ada pembantu yang tolong mengawasinya.
“Kerana sistem itu boleh terpadam sendiri sekiranya melalui kawasan cuaca kurang baik seperti ribut atau berlaku kecemasan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas fungsi autopilot tersebut yang selalunya digunakan pesawat komersial ketika di udara.
Beliau berkata, sistem tersebut hanya sebagai membantu juruterbang mengawal kapal secara automatik ketika dalam keadaan statik di udara.
"Tambahan sistem itu perlu ditekan oleh juruterbang sebelum pesawat terbang mengikut laluan yang telah ditetapkan. Ia tidak akan aktif sendiri tanpa ada yang menekannya.
“Kebiasaannya, hala tuju pesawat dikawal dengan tetapan lokasi atau menerusi program komputer, laluan penerbangan akan menjadi sangat lurus," katanya.
Ditanya jarak sistem autopilot boleh digunakan, beliau berkata, jarak tersebut bergantung pada juruterbang kerana jika laluan ketika itu berada pada ketinggian sama dan cuaca baik mungkin penggunaannya lebih lama.
"Kerana sistem ini kebiasaan digunakan dalam pesawat komersial yang memerlukan jarak penerbangan yang lama.
“Penerbangan yang lama sehingga 20 jam misalnya memerlukan rehat yang secukupnya. Oleh itu, juruterbang dibolehkan menggunakan sistem ini agar mengelak keletihan,” katanya.
Sumber: Sinar