Searching...
Monday, March 17, 2014
1:08 AM 0

MH370: India, Pakistan dimohon bantu Malaysia cari pesawat

NEW DELHI: Malaysia meminta bantuan daripada pelbagai negara, termasuk India dan Pakistan, dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, dan kini memasuki fasa kedua. 

Menurut akhbar The Times of India, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menghubungi rakan sejawatannya di India Manmohan Singh pada Ahad petang dan memohon bantuan teknikal dari India untuk mengesahkan kemungkinan laluan yang diambil pesawat MH370 itu. 



Pesawat itu disahkan telah dilencongkan secara sengaja. Ia dikesan bergerak ke arah barat menuju ke Laut Andaman dan Lautan Hindi oleh radar tentera AS yang berkuasa tinggi. 


Dalam perbualannya dengan Manmohan, Najib mengesahkan siasatan dijalankan melibatkan dua kemungkinan lautan, di koridor utara dan selatan, menurut akhbar harian berbahasa Inggeris itu. 

Di Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Tinggi India T.S Tirumurti dan atase pertahanan India menghadiri mesyuarat bersama pegawai tertinggi Malaysia untuk menyusun strategi berkaitan hala tuju siasatan itu, menurut laporan berkenaan. 

Sanjay Bhattacharyya, setiausaha bersama (selatan) dari kementerian luar juga berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat berkenaan. 

Jurucakap kementerian luar Syed Akbaruddin berkata: "Perdana Menteri, sambil berkongsi kebimbangan dan kerisauan tentang nasib pesawat itu dan kesejahteraan penumpangnya, memberi jaminan akan menghulur segala bentuk bantuan oleh pihak berkuasa India yang prihatin." 
Laporan itu menyebut Najib turut menghubungi Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif dengan permintaan serupa. Pakistan adalah sebuah daripada negara yang berkemungkinan menjadi laluan pesawat yang dilencongkan itu.

Pasukan keselamatan India pada Ahad menggantung usaha mencari pesawat berkenaan dan menunggu arahan terkini daripada pihak berkuasa Malaysia.


Sumber : Bernama