SHAH ALAM – Tidak mungkin pesawat MH370 melintasi ruang udara India tanpa dikesan oleh radar awam dan tentera negara itu.
Editor Hal Ehwal Keselamatan dan Strategik NDTV, Nitin Gokhale berkata, India mempunyai dua jenis satelit iaitu sekunder dan primer bagi mengesan pergerakan pesawat yang melalui ruang udara negara itu.
“Pesawat MH370 mungkin boleh mengelak daripada dikesan oleh radar pemantauan sekunder tetapi ia masih boleh dikesan oleh radar pemantauan primer yang digunakan tentera.
“Radar tentera akan dapat mengesan sebarang pergerakan pesawat yang tidak dikenali melalui ruang udara kami,” katanya ketika diwawancara saluran televisyen, Astro Awani, semalam.
Sebelum ini, dalam laporan Times of India, pengawal trafik udara negara itu menolak kemungkinan pesawat MH370 masuk ke ruang udara India dan terbang sehingga ke jalur utara yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media Sabtu lalu.
Setiausaha Persatuan Pengawal Trafik Udara di Kolkata, Sugata Pramanik berkata, Tentera Udara India mempunyai radar di beberapa tempat di serata negara dan adalah mustahil tidak ada satu pun antara radar itu yang mengesan bip ganjil yang tidak ada kebenaran terbang di ruang udara negara itu.
India bagaimanapun telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Mas itu selepas pihak berkuasa Malaysia memberi petunjuk bahawa operasi sudah memasuki fasa baharu.
Sumber : Sinar Harian