Searching...
Saturday, March 22, 2014
7:16 PM 0

Datuk Lee Chong Wei Sukar Dicari Ganti


PADA wawancara yang disiarkan semalam, Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza
Zakaria mengulas mengenai cabaran persatuan itu dalam melahirkan barisan pemain pelapis. Ikuti sambungan wawancara tersebut.

Datuk kerap membicarakan berkaitan jurang. Mengapa wujudnya jurang antara Datuk Lee Chong Wei dengan pemain lain? Adakah pemain lain kurang diberi perhatian oleh BAM?

MOHAMAD NORZA:  Saya punya pandangan, kita harus menilai keseluruhan faktor dari peringkat akar umbi, dari peringkat sekolah rendah sehingga peringkat senior.
Kalau kita lihat, kita banyak melahirkan pemain peringkat internasional yang menjadi juara di peringkat junior tetapi apabila di peringkat senior, mereka terkandas. Hilang semangat dan kekuatan.

Ia termasuk dengan pemain wanita yang dilihat lebih ketara apabila menyambung pelajaran di peringkat universiti.

Apa yang perlu dan sedang dilakukan adalah mengenal pasti bakat itu daripada mula sehingga habis bagi memastikan permata negara tidak terus lenyap.

Pandangan saya, terdapat had yang BAM buat. BAM juga adalah persatuan sukan yang berlandaskan penajaan.

Sekiranya kita ada kerjasama yang bersepadu antara kerajaan, BAM dan sekolah dengan lebih agresif serta dengan adanya pelan jangka masa pendek, medium dan panjang, maka kita akan dapat melahirkan pemain-pemain yang berkaliber.

Kita ambil contoh Chong Wei, kalau di China yang mempunyai 1 bilion penduduk, mereka tetap sukar untuk mencari pemain setaraf  Lin Dan.

Bakat yang istimewa seperti Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David mungkin akan lahir dalam tempoh 10 tahun.

Harus diingat, kita tidak boleh lahirkan pemain nombor satu tetapi untuk melahirkan pemain secara konsisten iaitu berada dalam kedudukan 10, 20 atau 50 dunia yang ramai, itu kita akan dapat lakukan. Nombor satu itu lahir dalam kelompok tersebut.

Kekurangan pemain seperti Datuk Lee Chong Wei boleh merugikan negara. Adakah ahli sukan di negara kita ini melihat bidang sukan tidak menjamin masa depan?


MOHAMAD NORZA:  Saya akui mungkin sebab sukan ini tidak boleh menjadikan mereka sebagai seorang jutawan seperti ahli perniagaan.

Yang kedua, saya masih beranggapan bahawa kita tidak memperlengkapkan mereka untuk menjadi pemain berkelas dunia.

Sekarang ini cabarannya lain. Mereka mesti mempunyai disiplin, kekuatan mental, keazaman untuk menang yang berbeza dengan orang lain. Jika mereka ada semua itu, baru mereka boleh menjadi pemain berkelas dunia.

Harus diingat, kejayaan perlu ada pengorbanan dan untuk kekal sebagai pemain berkelas dunia, pemain itu sendiri perlu mengekalkan disiplin.

Hari ini, isunya kita kena kuatkan dalaman pemain. Sama ada sanggup ada disiplin, mental dan sanggup berkorban masa.

Orang dulu kaya, minda, semangat, pengorbanan dan kemahuan. Bagaimanapun hari ini kita kaya minda tetapi miskin dalam bab lain.

Kita ada kemudahan bertaraf dunia tetapi kalau minda kita di tahap ketiga, kita tidak akan dapat menjadi pemain bertaraf bintang.

Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei suatu masa nanti mungkin akan mendatangkan sedikit kesulitan buat BAM terutamanya dari segi penajaan. Apa pandangan Datuk?

MOHAMAD NORZA:  Sebab itu BAM perlu cepat melahirkan pemain-pemain bintang kerana penajaan memerlukan seorang ikon.

Di samping itu juga, contohnya pihak swasta seperti Sinar Harian yang melakukan komuniti program dalam melahirkan pemain-pemain badminton, kita amat alu-alukan.

Saya rasa sudah tiba masanya,  untuk di peringkat akar umbi meletakkan tanggungjawab itu bukan hanya di tangan BAM.

Ini kerana jika penglibatan semua pihak ditambah dengan tahap kejurulatihan dan fokus yang tinggi, mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun kita dapat melahirkan pemain yang berkelas dunia.


Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong jadi regu pertama negara menggantikan Koo Kien Keat serta Tan Boon Heong. Apa yang diharapkan oleh BAM terhadap Thien How dan Wee Kiong?

MOHAMAD NORZA:  Pada pandangan saya, dulu harapan negara disandarkan kepada Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong.

Namun sekarang Kien Kiet sudah meninggalkan BAM dan secara tidak langsung, harapan itu terletak di bahu Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong.

Cara yang terbaik untuk mereka membuktikannya adalah menunjukkannya pada saingan Piala Thomas yang akan datang.

Ini kerana ia merupakan tanggungjawab yang amat besar bagi mereka untuk mempertahankan maruah negara.



Piala Thomas akan diadakan pada 18 hingga 25 Mei di New Delhi, India. Apa harapan Datuk atau sasaran Malaysia dalam kejohanan itu nanti?

MOHAMAD NORZA:  Berbicara berkenaan Piala Thomas, untuk kita berjaya, kita mesti melahirkan skuad yang seimbang di antara perseorangan dan regu. Sekarang kita hanya ada perseorangan lelaki iaitu Chong Wei.

Keseimbangan itu masih belum ada dalam skuad kita. Piala Thomas adalah kejohanan yang paling berprestij. Cabaran bagi kita adalah hendak melawan negara yang mempunyai pasukan yang seimbang.

Dalam kejohanan itu nanti, kita diletakkan sebagai pilihan ketiga tetapi ia satu harapan yang terlalu tinggi buat kita. Saya tidak rasakan kita mempunyai pasukan yang seimbang untuk mengulangi pencapaian tahun 1992.

Saya rasa dalam tempoh dua tahun lagi kita akan dapat melahirkan skuad yang seimbang. Itu sasaran kita dan kita perlu realistik dengan kekuatan yang kita ada setakat ini.

Sumber: Sinar