Searching...
Monday, March 24, 2014
5:51 PM 0

MH370: Misteri Masih Belum Terungkai Apabila Fariq Berkebolehan Kendali Boeing 777-200ER

MH370

KUALA LUMPUR - Pembantu juruterbang MH370 milik MAS, Fariq Abdul Hamid,
berkemampuan sepenuhnya untuk mengendalikan secara bersama pesawat jenis Boeing 777-200 ER.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya, ketika memberi jaminan tentang kredibiliti pembantu juruterbang itu, berkata Fariq lulus ujian berkenaan semasa mengambilnya pada kali pertama.

Beliau berkata Fariq, 27, yang menyertai MAS pada 2007 dan memiliki pengalaman 2,800 jam, turut 'terbang bersama-sama seorang pemeriksa (juruterbang), bukan orang yang kurang berpengalaman daripadanya', semasa menjadi pembantu juruterbang pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

"MAS amat ketat dari segi latihan. Ini (penerbangan MH370) merupakan penerbangannya (Fariq) yang keenam, oleh itu, beliau tidak perlu lagi menjalani ujian sebagai pembantu juruterbang," katanya ketika memberi taklimat harian berhubung perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul
Rahman.

Mengulas isu senarai kargo, Ahmad Jauhari sekali lagi menegaskan bahawa MH370 tidak membawa sebarang barangan berbahaya dan semua  pembungkusan mematuhi prosedur standard Persatuan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Terdapat buah-buahan dalam kotak (manggis berdasarkan taklimat sebelum ini), 200 kilogram bateri litium yang dianggap tidak berbahaya... serta
peralatan elektronik... radio yang dikeluarkan di negara ini untuk dibawa ke China," katanya.

Sementara itu, Azharuddin berkata tidak ada isyarat kecemasan dari pemancar lokasi kecemasan (ELT) dari MH370 dikesan oleh kapal atau pesawat semasa operasi mencari dan menyelamat, yang masuk hari ke-17 hari ini.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.

Pada sesi taklimat yang sama, Ahmad Jauhari turut menyangkal dakwaan bahawa MAS tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila penerbangan MH114 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu dilanggar sekumpulan itik semasa menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan pada 21 Mac.

"Juruterbang terbabit mematuhi SOP, beliau segera memaklumkan kejadian itu kepada Pengawal Trafik Udara (ATC) dan telahpun menyerahkan satu laporan
(berhubung insiden itu)," katanya.

Beliau juga berkata penerbangan MJ066 dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan terpaksa dilencong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong semalam sebagai langkah berjaga-jaga berikutan masalah teknikal.

Terdahulu, menurut kenyataan MAS, penerbangan MH066 dilencong kerana generator pesawat, yang membekalkan kuasa elektrik, tidak berfungsi.

Bagaimanapun, kuasa elektrik terus dibekal oleh unit kuasa bantu dan pesawat itu kemudian dilencong ke Hong Kong untuk pembaikan dan pendaratan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. 


- Bernama