Searching...
Friday, March 28, 2014
6:48 PM 0

WOW ! Bas amfibia di Tasik Kenyir


HULU TERENGGANU - Industri pelancongan di Tasik Kenyir bakal mempunyai satu lagi daya tarikan terbaharu apabila kerajaan negeri akan menyediakan kenderaan amphicoach (bas amfibia) di tasik buatan manusia itu yang dianggarkan bernilai RM3 juta sebuah.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kenderaan buatan Malta itu nanti bukan sahaja untuk pengangkutan pelancongan, tetapi berfungsi sebagai serampang dua mata kerana ia boleh digunakan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Kerajaan negeri bersetuju membeli dua amphicoach yang dapat digunakan di darat dan di air. Kenderaan berbentuk seperti bas ini pada satu-satu masa mampu memuatkan 50 penumpang dengan kelajuan mencecah lapan knot di dalam air.

“Buat masa ini, proses bagi urusan berkaitan sedang dijalankan termasuk menyiapkan dokumen untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti). Kenderaan amfibia ini akan menjadi satu lagi daya tarikan di Tasik Kenyir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) Kali ke-27 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut memaklumkan kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan parkir di Pulau Poh, Tasik Kenyir dengan menyediakan 1,000 petak tempat letak kereta serta 500 petak bagi bas.

Katanya, bagi tujuan itu, sebuah jambatan bakal dibina menghubungkan Pengkalan Gawi dengan pulau berkenaan dan ia sekali gus memudahkan pelancong untuk meletakkan kenderaan mereka.

Terdahulu, Ahmad diiringi Pengerusi Serikandi, Toh Puan Seri Norliza Mahmud menyampaikan replika cek kepada wakil pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) bagi semua Parlimen di negeri ini serta sumbangan keperluan dapur kepada mangsa banjir.


Sumber: Sinar