Searching...
Saturday, March 22, 2014
12:44 AM 0

Terkini ! Lebih 2 ribu Kawasan Lakukan Pemabakaran Terbuka

pembakaran terbuka

PUTRAJAYA - Keadaan jerebu sederhana dalam negara mula dikesan pada 14 Februari 2014 di kawasan Pelabuhan Klang, Selangor dan seterusnya pada 3 Mac 2014 di dua (2) kawasan iaitu di Pelabuhan Klang, Selangor dan Seri Manjung, Perak.


Keadaan jerebu bertambah buruk pada 14 Mac 2014 apabila dua (2) kawasan mencatatkan bacaan IPU berbahaya iaitu di Pelabuhan Klang dan  Banting, Selangor. Keadaan ini telah memaksa semua sekolah (203 buah) di seluruh Daerah Klang dan Kuala Langat, Selangor ditutup disebabkan bacaan IPU melebihi paras 200.


Jerebu yang berlaku adalah disebabkan punca dalaman iaitu kebakaran tanah dan hutan berskala besar di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Keadaan cuaca panas dan kering yang berlanjutan sejak bulan Januari lalu menyebabkan kebakaran mudah berlaku dan sekiranya telah berlaku, ia sukar dikawal serta memerlukan tindakan pemadaman yang ekstensif.


Maklumat Titik Panas (Hotspot) Bagi Tempoh Januari Hingga 17 Mac 2014


Dalam keadaan cuaca panas dan kering yang berlarutan, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh "ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC)” terdapat tren peningkatan yang ketara bilangan titik panas di seluruh negara dan juga di negara jiran iaitu di Sumatera, Indonesia. Jumlah titik panas yang dikesan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh Januari hingga 17 Mac 2014 adalah 1,347 berbanding dengan 464 jumlah titik panas yang dikesan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. Begitu juga peningkatan yang ketara bagi jumlah titik panas yang dikesan di Sumatera, Indonesia bagi tempoh yang sama tahun ini iaitu 3,885 berbanding 1,386 jumlah titik panas yang dikesan pada tahun lepas.


RAJAH 1 yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 13 Mac 2014 menunjukkan keadaan jerebu sederhana dialami di kawasan Lembah Klang, Semenanjung Malaysia dan jerebu teruk dialami di sekitar Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia.


Pada tarikh tersebut, berdasarkan laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), kemungkinan Semenanjung Malaysia dilanda jerebu merentas sempadan adalah rendah disebabkan oleh corak tiupan angin dari negara jiran iaitu dari arah timur laut tidak menghala ke Semenanjung Malaysia dan begitu juga corak pergerakan arah angin yang lemah dari kawasan titik panas Semenanjung Malaysia tidak menyebabkan jerebu di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia.


Ketua Pengarah Alam Sekitar di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001, telah mengisytiharkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka bagi kawasan-kawasan di seluruh Negeri Selangor pada 10 Mac 2014 dan bagi kawasan-kawasan di seluruh Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuatkuasa pada 13 Mac 2014 sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Berikutan dengan pengisytiharan Perintah Larangan ini:-


(i)    Seluruh kawasan dalam Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor adalah merupakan kawasan larangan bagi melakukan sebarang pembakaran terbuka KECUALI bagi aktiviti-aktiviti tertentu iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, gril/barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar (flaring); dan


(ii)    Semua pihak digesa tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.


Mereka yang sabit kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.


Sehingga hari ini, JAS sedang menyediakan 29 kertas siasatan bagi kes-kes pembakaran terbuka yang akan dibawa untuk tindakan mahkamah.


Berdasarkan siasatan JAS pada tahun ini sehingga 20 Mac 2014, sebanyak 2402 kes pembakaran terbuka telah dikesan iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (527 kes), kawasan pertanian (775 kes), kawasan industri (20 kes), kawasan pembinaan (60 kes), tapak pelupusan sampah (44 kes), kawasan belukar (559 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (417 kes). Bagi tempoh yang sama, sebanyak 130 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun dan 58 kes telah dikeluarkan Notis Amaran.


Mengikut rekod JAS, bagi tempoh tiga tahun yang lepas (2011-2013), jumlah kompaun yang diterima bagi kesalahan pembakaran terbuka adalah RM1.7 juta (1,345 bilangan kompaun) dan denda mahkamah sebanyak RM225,000 (bagi 41 kes).


Pengawasan rapi status kualiti udara dilaksanakan melalui 52 stesen pengawasan kualiti udara yang ditempatkan di seluruh Negara bagi mengesan sebarang perubahan kepada status kualiti udara dan sebagai pengesanan awal kejadian jerebu. Bagi mengawal punca dalaman yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Tetap Operasi (Standard Operating Procedure, SOP) Program Pencegahan Kebakaran Di Tanah Gambut Mudah Terbakar mulai 4 Februari 2014 serta mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan pencemaran dari industri.


Semua pihak diminta tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.


SUMBER: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)